Ayah....

Catatan ini ku tulis sekadar ingin berkongsi dengan kalian, para sahabat alam maya. Cerita hidupku. Secebis pengalaman yang tidaklah begitu penting tapi ia amat bererti bagiku. 2010 adalah tarikh berlakunya  peristiwa paling besar dalam hidupku. “aku kehilangan insan bergelar AYAH” yang biasanya aku panggil bapak.

Selama hidup, ku mendengar khabar sahabat-sahabat kehilangan ayah. Ucapan takziah itu selalu ku ungkapkan, tapi tidak pernah sekali aku mencuba untuk menyelami hati insan-insan yang telah kehilangan ayah. Kerana bagiku kehilangan itu satu perkara yang biasa dan akan terjadi kepada semua manusia.

Menjelang Januari 2010 kembalilah kami kerutinan seperti biasa balik ke pusat pengajian tinggi tempatku belajar. Tempat mengenali para sahabat seangkatan. Dan selama mana tidak bercuti panjang, selama itulah aku tidak akan balik menemui keluarga. Bukan kerana tidak mahu, tapi sebagai anak aku tahu susah payah ayah dan ibuku (memahami kan sikap anak yang baik. Maka tergolonglah aku dalam kalangan anak yang baik sedikit. Amin, Insyaallah).

Sebelum balik bersalam dengan ayah. Berpelukan sebentar. Dan ayah ingin membisikkan sesuatu ke telingaku. Hatiku bisa meneka apa yang bakal ayah perkatakan “ belajar rajin-rajin jang” ( jang adalah panggilan mesra untuk anak laki2 dalam bahasa kami) aku tersenyum. Kerana terasa agak lucu. Dalam perkiraan ku beratus kali ayah menekankan benda yang sama semasa berpelukan denganku. Sehinggakan aku boleh meneka dan menghafalnya. Mungkin ayah lebih tahu apa yang terbaik untukku. Diakan bapa, sebahagian daripada kita. Maka dia tahu apa yang terbaik buat kita.

Semasa di universiti aku dan para sahabat mula berdiskusi tentang sekolah yang bakal dipilih untuk menjalankan ROS (Rancangan Orientasi Sekolah). Semasa bermulanya perkenalan dengan sahabat baikku yang ku katakan dialah sahabat terbaikku dunia akhirat, aku ingin sekali mengajaknya mengembara ke negeri kelahiranku. Dengan alasan ROS tersebut mudahlah kami mengembara bersama-sama. Perkenalan yang cukup baik. Setahun yang lalu. Namun menjelang tarikh tersebut terdapat perselisihan faham sedikit. Kerana baju? Entahlah. Mengapa aku terlalu sensitive? Hanya ALLah yang tahu hikmah disebaliknya.
April 2010…

Resah mula melanda. Tarikh ke Sarawak semakin hampir. Tapi jauh di sudut hati aku terasa sangat berat untuk ke Sarawak. Tiket kapal terbang yang diambil dari KL ke kuching. Bukan dari JB. Maka tidaklah aku berjumpa dengan keluargaku semasa aku balik. Rindu? Rindulah jugak. Tapi sebenarnya aku biasa berjauhan dengan keluarga. Kerana didikan yang ayah ngan mak berikan kepada kami. Berdikari.

Sampainya aku di Sarawak, aku mendengar berita yang mak saudara sebelah ibu sakit tenat dan sangat nazak. Peluang berada di sarawak ku ambil untuk menziarahi mak saudara yang sedang sakit. Mak menyatakan hasratnya untuk ke Sarawak. Namun mak saudaraku  semakin membaik keadaannya. Semasa menelefonku. Mak membisikkan sesuatu, “ ayah demam di JB”. Aku ambil ringan. Bukan aku tidak kesah. Tapi perkiraan ku seumur hidup melihat ayah. Dia tidak pernah sakit walaupun demam. Aku merasakan ayahlah manusia yang paling kuat. Itulah salahku yang sangat besar.

Hari esoknya, mak menelefonku, menyuruhku balik segera ke jb kerana bapak agak teruk dan ingin menemuiku, tapi aku punya masalah kewangan. Dan hal tersebut aku beritahu dengan mak. Di Sarawak aku tinggal bersama family angkatku. Mak mengatakan hal yang sama kepadaku. Dia juga tidak punya Wang… ALLaH…… hanya tuhan yang tahu.

Mak mencadangkan aku meminjam wang dengan mak saudaraku yang lain. Dan aku mengiyakannya. Tapi inilah aku, kelemahan aku, aku perlu masa untuk menuturkan perkataan meminjam tersebut kerana aku cukup malu. Aku menghabiskan masa satu hari memikirkan nya. Sampai mak aku memberitahu mak saudaraku yang ayahku sakit dan mak saudaraku pula yang mempelawa aku menggunakan duitnya. dan hari itu juga aku mula berkemas untuk balik ke jb.

Di jB. Ayah mencariku. Tapi aku terpaksa balik ke jB 730 petang esoknya kerana ketiadaan tiket pagi. Pagi tersebut doctor ingin menidurkannya tapi dia sentiasa melihat jam kerana masih menungguku. Pada pemahamannya aku akan sampai jam 730 pagi. Mak memujuknya mengikut nasihat doktor. Keadaannya semakin teruk dan dia terus ditidurkan. Dan tidur itulah tidur terakhirnya.

Sesampai aku di JB. Aku terus pulang ke rumah. Ayah ku ziarah pada keesokkan harinya. Kerana melawat pesakit hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu. Sekujur tubuh kulihat, sangat kesian. Dia ditempatkan di dalam sebuah bilik khas di icu. Tiada siapapun yang dibenarkan untuk mendekatinya. Mungkin disebabkan penyakitnya yang belum dapat dikesan. Tapi selepas beberapa hari dia keluar dibilik khas tersebut. Kerana ujian tibi dan h1n1 disahkan negatif. Tapi masih di icu. Ayah mengidap jangkitan kuman di paru-paru. Kebetulan kuman tersebut lebih kuat dari “antibody” dia. Mesin yang menyokong hidupnya adalah pada tahap yang paling tinggi. Dan doktor berusaha menurunkannya sedikit demi sedikit. Suhu badannya ku lihat mencapai 38, 39, dc. Dan ada kalanya memcecah ke 41 dan 41 dc. Ayah sakit ditambah dengan demamnya yang tidak pernah kebah.

Selama sebulan kami berulang alik dr hospital kerumah. Teksi selalu dalam rm 7,8,9 dan 10 sehala. Kadang-kadang mencecah Rm 12. Bergantung dengan kebersihan akal seorang pemandu teksi. Duit keluar semacam air. Mengalir terus. Nasib baik ramai saudara di jB. Kalau tidak. Alangkah payahnya.

Hari ke 17 dia ayah di icu, masih tiada perubahan. Malah doctor membincangkan kepada kami untuk membuat lubang pada leher ayah kerana keberadaan bendasing terlalu lama di dalam leher akan menyebabkan lehernya membengkak dan ia juga mudah terdedah dengan jangkitan kuman. Dan kami dengan berat hati merelakannya. Satu perkara yang ada pada pikiran kami, ayah selamat dan bisa bangkit kembali. Tapi ALLah tetap punya rencananya yang tersendiri.

Ya Robb...Berikanlah juga Sisa-sisa Umurku kepada ayahku...

Dalam hatiku timbullah penyesalan yang sangat besar. Kenapalah aku memilih untuk ROS di Sarawak.?? Alangkah senang jika ROS ku lakukan di JB sahaja. Tapi atas dasar tanggungjawab aku mesti pergi ke sarawak lagi. Hidup mestilah diteruskan. Tiket kubeli pada 16 jun 2010. Untuk balik ke Sarawak kerana 21 jun Ros sudah bermula. Duit tersebut adalah duit yang saudara sedekahkan semasa melawat ayah di hospital. Keadaan ayah masih tidak berubah. Namun satu hal yang sangat menghairankan, dalam pada doktor ingin menyedarkannya lagi untuk melihat keadaannya dengan menghentikan pemberian ubat tidur. Ayah tidak boleh sedarkan diri walaupun 10 hari pemberian ubat tidur dihentikan. Seingat aku pada waktu itu sudah menjelang 15 jun. Esoknya aku perlu balik ke Sarawak. Doktor ingin membuat imbasan pada otaknya. Mungkin terdapat sedikit masalah pada otak yang menyebabkan ayah tidak boleh bangun.

Semasa Ayah tidur, kami akan mewudukkannya setiba waktu sholat dan membisikkan niat sholat kepadanya. dan dia seolah fahaM.

Tarikh 16 jun menjelma. Sebelum balik ke Sarawak niatku ingin menziarahi ayah di hospital. Dan semestinya ingin mengetahui keputusan ujian imbasan otak ayahku. Sampai di hospital, jururawat memberitahu kami bahawa Doktor Pakar ingin berjumpa dengan kami pada jam 2 petang. (seluruh ahli keluarga) Kami menunggunya dengan penuh sabar. Tapi pada masa itu cuma ada aku, 2 orang adik lelakiku dan mak. Adik perempuan ku masih berada di Sarawak. Sudah berkahwin dan mempunyai anak. Kakak pula kerja, Doktor pakar ingin berjumpa dengan kami. Jururawat tersebut menambah apa yang dikatakan oleh doktor pakar itu nanti adalah keadaan ayah yang paling terkini.

Dalam kesejukkan ruangan Icu tersebut, kami menunggu Doktor Pakar. Rupanya seorang doktor wanita. Lembut wajahnya. Terserlah kesabaran seorang doktor. Beliau memulakan perkataannya dengan mengatakan dia tidak boleh menyembunyikan keadaan ayah sangat teruk. Dan satu perkataan yang aku tidak pernah lupa adalah ketika doktor mengesahkan ayah “braindeath” aku meminta doktor mengulanginya. “ mati otak” terasa duniaku berputar. Luluh segenap hatiku mendengarnya. Semuanya kerana “mati otak sangat aku tahu bagaimana keadaannya. (mati otak berlaku di mana otak gagal berfungsi mengawal sistem tubuh. Pesakit yang mati otak, jantungnya masih berdenyut, tapi kerana otaknya telah mati, jantungnya boleh berhenti bila-bila masa. Dengan kata yang paling mudah, pesakit sebenarnya sudah meninggal dunia. Inilah kefahaman dari risalah yang ku baca di hospital semasa mula-mula aku menjejakkan kaki di situ. Risalah yang bertaburan. Sungguh tidak pernah aku terfikir ia akan terjadi dengan ayah. Doktor menyatakan pihak mereka akan mengadakan ujian mati otak sebanyak dua kali melalui dua jabatan yang berbeza di hospital tersebut. Jika ujian yang pertama adalah positif. Maka sudah sah Ayah telah mati otak dan keadaan sebetulnya adalah, pada ketika kami mendengar penjelasan doktor tersebut ayah telah tiada. Namun ujian kali kedua tetap kami jalankan untuk mengesahkan keadaan tersebut. Mak mula menangis. Kami perlu menenangkannya dahulu. Nasib baik ada adik menemani kami bersama.

Doktor mengatakan ayah mengidap sejenis penyakit paru-paru yang mula bertapak dalam dirinya mungkin 10 tahun yang lalu. Penyakit tersebut akan merosakkan paru-parunya sedikit demi sedikit dan masa ayah sakit adalah kemuncak serangan tersebut. (Mungkin juga kesan dari tabiat ayah kerana ayah juga seorang 'Perokok".)

“Otak ayah awak sudah tidak berfungsi, bukan sedikit malah langsung tidak berfungsi. Dari segi klinikalnya kami memang sahkan pesakit mengalami mati otak. Sebelum ini, pesakit memberi respon bilamana proses sedutan kahak di dalam badannya dilakukan. Selalunya pesakit akan batuk atau mengerutkan dahinya. Tapi pada awal pagi tersebut tindak balas pesakit adalah kaku sama sekali. Pihak kami cuba untuk memisahkan pesakit dengan bantuan pernafasan kerana pernah dicuba sebelum ini pesakit boleh bernafas sendiri. Tapi percubaan pada hari tersebut memperlihatkan pesakit tidak boleh bernafas dengan sendirinya, dah ini bermakna dia bergantung 100% dengan oksigen di mesin. Itu juga tanda-tanda pesakit mengalami mati otak. Selain itu, kita boleh melihat pesakit mempunyai kencing yang banyak. Ini kerana jika otak sebagai tunjang dalam tubuh badan kita gagal berfungsi, ia juga tidak boleh mengawal apa-apa lagi termasuk air kencing. Awak telefon semua ahli keluarga yang belum menemuinya. Agar cepat-cepat menemuinya. Sedekahkan surah yassin kepadanya kerana pada masa sekarang. Kita akan buka 24 jam untuk ahli keluarga menziarahi dan melawatnya. Sekarang Kita hanya menunggu nadinya berhenti. Jikalau nadinya berhenti kita tidak akan melakukan pertolongan untuk mengembalikan denyutan nadinya kembali. Kami menolong pesakit ada batasnya. Jika dia sudah pergi, redhakanlah, tidak boleh kita tahan-tahan. Menyiksa dia. Sekarang, Bila balik ke rumah, sediakanlah peralatan untuk majlis yang sepatutnya (majlis pengkebumian). Pada masa sekarang fikir kemungkinan buruk sahaja, jangan fikir kemungkinan baik. Untuk kemungkinan baik, itu adalah keajaiban dari ALLah.”( aku masih mengharapkan keajaiban itu)

Ku lihat mak mengangguk redha dalam tangisannya. Adik menangis memeluk mak. Aku? Aku berusaha untuk kuat. Kami keluar dari icu. Aku dalam keadaan keliru. Penerbangan ku ke Sarawak adalah pada jam 6 petang. Apa yang patut aku lakukan? Keputusan perlu dibuat segera. Walaupun ketika itu aku sangat dilemma. Mak pula dalam tangisnya meminta saudaraku di kampung membersihkan rumah dan bersedia menerima kepulangan kami dan jenazah ayahku pada bila-bila masa. Aku bertanya kepada mak bagaimana keadaan tiketku. Mak menyuruhku membatalkan penerbangan ke Sarawak petang tersebut. Aku cuba untuk rasional. Perkiraan ku, segala ralat dalam membuat keputusan akan sangat menyusahkan.
            
 “ Mak saya dah beli tiket ni, dan pada pandangan saya, lebih baik jika saya balik petang ni, kita sedia maklum keadaan ayah” kita bukan mengharapkan dia tiada. Tapi itulah kebenarannya. Walaupun di benakku sangat mengharapkan keajaiban. Apa-apa yang bakal terjadi, sudahnya nanti, ayah akan dibawa pulang ke Sarawak. Kerana itu adalah salah satu permintaannya. Ayah tidak mahu ditinggalkan sorang-sorang di negeri orang. Sebaiknya saya balik, saya yang bersedia  menyambut kedatangan jenazah ayah dari kampung.” Mak mula memikirkan rasional dari apa yang aku perkatakan. Mungkin ada yang mengatakan keputusan aku salah. Tapi pada fikiranku itulah yang terbaik. Aku puas menjaganya semasa sakit. Dan semoga kesakitan selama 29 hari terlantar di icu tersebut, ALLah punya sedikit alasan untuk menggugurkan dosa-dosanya.

Setibanya aku di Sarawak aku menerima meseg bertubi-tubi dari teman mengucapkan takziah atas kematian ayah. Aku sangat keliru. Berkali-kali aku bertanya kepada adik. Ayah belum meninggal. Keadaannya masih sama. Cuma nadinya semakin lemah. 

Pada jam 5.03 minit petang, semasa dalam perjalanan  balik ke kampung. Telefonku berdering. di skrin telefon tertera nama adikku. Fauzie Amry memanggil. Dan aku merasakan sudah sampai beritanya. Sampai sudah waktunya. Bila diangkat, sangkaan ku tidak meleset. “ jantung ayah sudah berhenti, ayah sudah tiada” perkataan yang menggegar seluruh isi hatiku. Seluruh jiwa dan ragaku.

Menerima kematian ayah aku tidak menangis. Tapi dalam hati ini hancur. Terasa aku ingin meraung sekuat hati. Tapi aku sentiasa diajar untuk sabar. Aku juga diajar untuk sentiasa ikhlas dan redha. Kerana dalam pada aku sangat mencintai ayah. Allah juga begitu mencintainya..  Alfatihah…

Urusan memandikan jenazah ayah dilakukan sendiri oleh ibuku dan adikku serta beberapa pekerja dalam urusan jenazah di hospital tersebut. Sehingga disembahyangkan. Jenazah ayah akan dibawa di dalam kargo Malaysia Airlines. Tapi tiket penerbangan air asia pada masa tersebut sangatlah mahal. Mencecah 500 lebih seorang. Dan keluargaku lebih kurang 8 orang yang akan balik. Tetapi tiket pada hari jumaat sudah habis. Dan cuma ada pada pagi sabtu. Cuma seorang yang boleh mengiringi jenazah ayah ke Sarawak. Dan semestinya adalah mak.

Urusan pengeluaran jenazah ayah dari kargo tidak mengalami sebarang masalah sangat lancar dan ia berlaku dari urusan di hospital lagi. Pada jam 2 petang dalam perkiraan ku, jenazah ayah sampai di Sarawak dan akan melalui perjalanan selama kurang lebih 5 jam untuk ke kampung. Menggunakan Van salah seorang daripada sepupu, jenazah ayah selamat sampai di rumah selepas Isya'. ( 7;30 pm).

Inilah saat yang tidak akan kulupakan seumur hidupku. Sangat sayu. Hening. Dalam kepasrahan. Hatiku berbisik. “Ayah telah tiada, aku anak yatim”. Pilu, aku tidak pernah menduga sedikitpun akan Secepat ini. Sedang mimpikah aku? Tidak pernah ada mimpi lagi. Kerana inilah realitinya. Inilah harga yang perlu dibayar oleh seorang manusia juga seorang anak sepertiku. 

Pengkebumian jenazah ayah perlu dilakukan pada paginya. Keluarga dari JB mengalami masalah kelewatan penerbangan AIR ASIA. Sampai di airport kuching, van yang dijanjikan akan mengambil meraka tidak kunjung tiba. Maka aku memujuk ibuku untuk mempercepatkan pengkebumian ayah kerana jangkaan mereka sampai sangat lambat.

Aku menaiki kereta jenazah. Aku seorang. Membawa payung meneduhi bahagian kepala jenazah. Sampai di kawasan perkuburan jenazah ayah terus dimakamkan. Tapi sebelum jenazah dimasukkan ke liang lahad. Aku melaungkan azan. Dan meminta maaf atas segala dosanya serta minta di halalkan hutang-hutangnya.

Menerima kematian ayah, aku Cuma hiba. Belum menangis, Cuma satu hal yang aku tidak tahan. Menitis juga airmataku saat talqin di baca. “selamat berpisah Muhammad Pu’ad,” barulah sangat terasa. Ayah telah pergi. dan wajah itu, tidak akan pernah aku tatapi lagi. 

Apabila jenazah ayah selesai dikebumikan keluarga dari johor Bharu sampai dalam jam 6 petang. Di tanah perkuburan aku membisikkan KALAULAH dengan ibuku.
1.      
  1.  Kalaulah aku membatalkan tiket, mesti mak sorang-sorang yang menguruskan pengkebumian 
  2. jenazah di sini. Ibu mengangguk tanda menyetujui kebenaran kataku
  3. Selain itu semasa di rumah, aku membisikkan dalam hati, kalaulah aku memilih untuk menjalani latihan ROS di Johor Bharu. Alangkah susahnya aku. Kerana 2 3 hari selepas ayah meninggal aku sudah mula menjalani ros. Rupanya apa yang aku gusarkan dulu tidak tepat. Kerana sememangnya aku perlu ROS di Sarawak. Hebatnya ALLah menggerakkan hatiku untuk memilih Sarawak.
  4. Kalaulah aku berbaik dengan sahabatku, semestinya dia akan menemani aku balik ke Sarawak. Dan dia akan terkapai-kapai sendirian apabila aku perlu balik ke jb menjaga ayahku sakit. ALLah memang memberikan kemudahan dalam urusanku. Dengan memberikan kami sedikit salah faham.

Saya percaya ALLah sudah mengaturkan secara terperinci dan terbaik perkara yang bakal terjadi dalam hidup hambanya. Aku sangat bersyukur. Terima Kasih Ya Robb

Setelah beberapa hari pemergian ayah. Dalam sholatku, mula bertambah satu doa. Ampunilah dosa-dosa ayah, Rahmati roh ayah, tempatkan dia dalam kalangan hamba yang soleh dan diredhai. Jauhkan dia dari seksaan kubur dan seksaan api neraka. Luaskanlah kuburnya. Jadikan kuburnya taman yang indah seindah taman syurga. Mudahkanlah perjalanan ayahku menuju Syurgamu Ya ALLah.

Tika bersendirian, selalu jatuh air mataku mengenangkan ayah. Bukan sekali-sekali meratapi pemergiannya. Tapi kerana hidupnya, didamba untuk membesarkan kami. Sentiasa berjauhan dari kami. Demi hidup kami. Pesanan belajar rajin-rajin sentiasa tersemat. Aku sangat terkilan. Jasanya belum terbalas. Semoga Allah memandang pengorbanan yang dia lakukan. 

Terima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa memberikan sokongan dan memberikan dorongan agar diri ini menjadi semakin kuat.

Perginya Ayah menemui pencipta... tangisan redha kami..akan disusuli dengan doa qudus... Cintailah dia Ya Allah...

Alfatihah

Comments

  1. fauzan , b'sabar yer!
    sama-sama dOakan yg t'baek utk arwah ,
    hiba sgt bce entry nie dan sgt rasa ape yg kmu rasa .
    namun , p'pisahan itu tetap pada hak-Nya .

    ReplyDelete
  2. salam.. hai kawan.. sangat menyentuh kisahmu ni. sabar ek.. dari mana kita datang.. kepadaNya juga kita kembali.. semoga ayahandamu ditempatkan bersama-sama org yg beriman. amin.

    ReplyDelete
  3. terima kasih sahabat2.. semoga kita lebih mencintai ibu bapa kita...

    ReplyDelete
  4. sgt hiba bila membaca entri ini..
    tabahkn hati wahai sahabatku..
    semoga dirimu sntiasa tabah dlm apa jua perkara..
    ku doakan hidupmu sntiasa beroleh keberkatan..amin ya rabbal alamin..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sajak Aku (Komsas Tingkatan 1) Lagu Puisi

Diari Hati Seorang Guru (UPSI)

Keindahan Yang hilang (lagu Puisi)