Ayah....
Catatan ini ku tulis sekadar ingin
berkongsi dengan kalian, para sahabat alam maya. Cerita hidupku. Secebis
pengalaman yang tidaklah begitu penting tapi ia amat bererti bagiku. 2010
adalah tarikh berlakunya peristiwa paling besar dalam hidupku. “aku kehilangan
insan bergelar AYAH” yang biasanya aku panggil bapak.
Selama hidup, ku mendengar khabar
sahabat-sahabat kehilangan ayah. Ucapan takziah itu selalu ku ungkapkan, tapi
tidak pernah sekali aku mencuba untuk menyelami hati insan-insan yang telah
kehilangan ayah. Kerana bagiku kehilangan itu satu perkara yang biasa dan akan
terjadi kepada semua manusia.
Menjelang Januari 2010 kembalilah kami
kerutinan seperti biasa balik ke pusat pengajian tinggi tempatku belajar.
Tempat mengenali para sahabat seangkatan. Dan selama mana tidak bercuti
panjang, selama itulah aku tidak akan balik menemui keluarga. Bukan kerana
tidak mahu, tapi sebagai anak aku tahu susah payah ayah dan ibuku (memahami kan
sikap anak yang baik. Maka tergolonglah aku dalam kalangan anak yang baik
sedikit. Amin, Insyaallah).
Sebelum balik bersalam dengan ayah.
Berpelukan sebentar. Dan ayah ingin membisikkan sesuatu ke telingaku. Hatiku
bisa meneka apa yang bakal ayah perkatakan “ belajar rajin-rajin jang” ( jang adalah
panggilan mesra untuk anak laki2 dalam bahasa kami) aku tersenyum. Kerana
terasa agak lucu. Dalam perkiraan ku beratus kali ayah menekankan benda yang
sama semasa berpelukan denganku. Sehinggakan aku boleh meneka dan menghafalnya.
Mungkin ayah lebih tahu apa yang terbaik untukku. Diakan bapa, sebahagian
daripada kita. Maka dia tahu apa yang terbaik buat kita.
Semasa di universiti aku dan para
sahabat mula berdiskusi tentang sekolah yang bakal dipilih untuk menjalankan
ROS (Rancangan Orientasi Sekolah). Semasa bermulanya perkenalan dengan sahabat
baikku yang ku katakan dialah sahabat terbaikku dunia akhirat, aku ingin sekali
mengajaknya mengembara ke negeri kelahiranku. Dengan alasan ROS tersebut
mudahlah kami mengembara bersama-sama. Perkenalan yang cukup baik. Setahun yang
lalu. Namun menjelang tarikh tersebut terdapat perselisihan faham sedikit.
Kerana baju? Entahlah. Mengapa aku terlalu sensitive? Hanya ALLah yang
tahu hikmah disebaliknya.
April
2010…
Resah mula melanda. Tarikh ke Sarawak
semakin hampir. Tapi jauh di sudut hati aku terasa sangat berat untuk ke
Sarawak. Tiket kapal terbang yang diambil dari KL ke kuching. Bukan dari JB.
Maka tidaklah aku berjumpa dengan keluargaku semasa aku balik. Rindu? Rindulah
jugak. Tapi sebenarnya aku biasa berjauhan dengan keluarga. Kerana didikan yang
ayah ngan mak berikan kepada kami. Berdikari.
Sampainya aku di Sarawak, aku
mendengar berita yang mak saudara sebelah ibu sakit tenat dan sangat nazak.
Peluang berada di sarawak ku ambil untuk menziarahi mak saudara yang sedang
sakit. Mak menyatakan hasratnya untuk ke Sarawak. Namun mak saudaraku
semakin membaik keadaannya. Semasa menelefonku. Mak membisikkan sesuatu,
“ ayah demam di JB”. Aku ambil ringan. Bukan aku tidak kesah. Tapi perkiraan ku
seumur hidup melihat ayah. Dia tidak pernah sakit walaupun demam. Aku merasakan
ayahlah manusia yang paling kuat. Itulah salahku yang sangat besar.
Hari esoknya, mak menelefonku,
menyuruhku balik segera ke jb kerana bapak agak teruk dan ingin menemuiku, tapi
aku punya masalah kewangan. Dan hal tersebut aku beritahu dengan mak. Di
Sarawak aku tinggal bersama family angkatku. Mak mengatakan hal yang sama
kepadaku. Dia juga tidak punya Wang… ALLaH…… hanya tuhan yang tahu.
Mak mencadangkan aku meminjam wang
dengan mak saudaraku yang lain. Dan aku mengiyakannya. Tapi inilah aku,
kelemahan aku, aku perlu masa untuk menuturkan perkataan meminjam tersebut
kerana aku cukup malu. Aku menghabiskan masa satu hari memikirkan nya. Sampai
mak aku memberitahu mak saudaraku yang ayahku sakit dan mak saudaraku pula yang
mempelawa aku menggunakan duitnya. dan hari itu juga aku mula berkemas untuk
balik ke jb.
Di
jB. Ayah mencariku. Tapi aku terpaksa balik ke jB 730 petang esoknya kerana
ketiadaan tiket pagi. Pagi tersebut doctor ingin menidurkannya tapi dia
sentiasa melihat jam kerana masih menungguku. Pada pemahamannya aku akan sampai
jam 730 pagi. Mak memujuknya mengikut nasihat doktor. Keadaannya semakin teruk
dan dia terus ditidurkan. Dan tidur itulah tidur terakhirnya.
Sesampai aku di JB. Aku terus pulang
ke rumah. Ayah ku ziarah pada keesokkan harinya. Kerana melawat pesakit hanya
boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu. Sekujur tubuh kulihat, sangat
kesian. Dia ditempatkan di dalam sebuah bilik khas di icu. Tiada siapapun yang
dibenarkan untuk mendekatinya. Mungkin disebabkan penyakitnya yang belum dapat
dikesan. Tapi selepas beberapa hari dia keluar dibilik khas tersebut. Kerana
ujian tibi dan h1n1 disahkan negatif. Tapi masih di icu. Ayah mengidap
jangkitan kuman di paru-paru. Kebetulan kuman tersebut lebih kuat dari
“antibody” dia. Mesin yang menyokong hidupnya adalah pada tahap yang paling
tinggi. Dan doktor berusaha menurunkannya sedikit demi sedikit. Suhu badannya
ku lihat mencapai 38, 39, dc. Dan ada kalanya memcecah ke 41 dan 41 dc. Ayah
sakit ditambah dengan demamnya yang tidak pernah kebah.
Selama sebulan kami berulang alik dr
hospital kerumah. Teksi selalu dalam rm 7,8,9 dan 10 sehala. Kadang-kadang
mencecah Rm 12. Bergantung dengan kebersihan akal seorang pemandu teksi. Duit keluar
semacam air. Mengalir terus. Nasib baik ramai saudara di jB. Kalau tidak.
Alangkah payahnya.
Hari ke 17 dia ayah di icu, masih
tiada perubahan. Malah doctor membincangkan kepada kami untuk membuat lubang
pada leher ayah kerana keberadaan bendasing terlalu lama di dalam leher akan
menyebabkan lehernya membengkak dan ia juga mudah terdedah dengan jangkitan
kuman. Dan kami dengan berat hati merelakannya. Satu perkara yang ada pada
pikiran kami, ayah selamat dan bisa bangkit kembali. Tapi ALLah tetap punya
rencananya yang tersendiri.
Ya
Robb...Berikanlah juga Sisa-sisa Umurku kepada ayahku...
Dalam hatiku timbullah penyesalan yang
sangat besar. Kenapalah aku memilih untuk ROS di Sarawak.?? Alangkah
senang jika ROS ku lakukan di JB sahaja. Tapi atas dasar tanggungjawab aku
mesti pergi ke sarawak lagi. Hidup mestilah diteruskan. Tiket kubeli pada 16
jun 2010. Untuk balik ke Sarawak kerana 21 jun Ros sudah bermula. Duit tersebut
adalah duit yang saudara sedekahkan semasa melawat ayah di hospital. Keadaan ayah
masih tidak berubah. Namun satu hal yang sangat menghairankan, dalam pada
doktor ingin menyedarkannya lagi untuk melihat keadaannya dengan menghentikan
pemberian ubat tidur. Ayah tidak boleh sedarkan diri walaupun 10 hari pemberian
ubat tidur dihentikan. Seingat aku pada waktu itu sudah menjelang 15 jun.
Esoknya aku perlu balik ke Sarawak. Doktor ingin membuat imbasan pada otaknya.
Mungkin terdapat sedikit masalah pada otak yang menyebabkan ayah tidak boleh
bangun.
Semasa Ayah tidur, kami akan
mewudukkannya setiba waktu sholat dan membisikkan niat sholat kepadanya. dan
dia seolah fahaM.
Tarikh 16 jun menjelma.
Sebelum balik ke Sarawak niatku ingin menziarahi ayah di hospital. Dan
semestinya ingin mengetahui keputusan ujian imbasan otak ayahku. Sampai di hospital,
jururawat memberitahu kami bahawa Doktor Pakar ingin berjumpa dengan kami pada
jam 2 petang. (seluruh ahli keluarga) Kami menunggunya dengan penuh sabar. Tapi
pada masa itu cuma ada aku, 2 orang adik lelakiku dan mak. Adik perempuan ku
masih berada di Sarawak. Sudah berkahwin dan mempunyai anak. Kakak pula kerja,
Doktor pakar ingin berjumpa dengan kami. Jururawat tersebut menambah apa yang
dikatakan oleh doktor pakar itu nanti adalah keadaan ayah yang paling terkini.
Dalam kesejukkan ruangan Icu tersebut,
kami menunggu Doktor Pakar. Rupanya seorang doktor wanita. Lembut wajahnya.
Terserlah kesabaran seorang doktor. Beliau memulakan perkataannya dengan
mengatakan dia tidak boleh menyembunyikan keadaan ayah sangat teruk. Dan satu
perkataan yang aku tidak pernah lupa adalah ketika doktor mengesahkan ayah “braindeath”
aku meminta doktor mengulanginya. “ mati
otak” terasa duniaku berputar. Luluh segenap hatiku mendengarnya.
Semuanya kerana “mati otak sangat aku tahu bagaimana keadaannya. (mati otak
berlaku di mana otak gagal berfungsi mengawal sistem tubuh. Pesakit yang mati
otak, jantungnya masih berdenyut, tapi kerana otaknya telah mati, jantungnya
boleh berhenti bila-bila masa. Dengan kata yang paling mudah, pesakit
sebenarnya sudah meninggal dunia. Inilah kefahaman dari risalah yang ku baca di
hospital semasa mula-mula aku menjejakkan kaki di situ. Risalah yang
bertaburan. Sungguh tidak pernah aku terfikir ia akan terjadi dengan ayah.
Doktor menyatakan pihak mereka akan mengadakan ujian mati otak sebanyak dua
kali melalui dua jabatan yang berbeza di hospital tersebut. Jika ujian yang
pertama adalah positif. Maka sudah sah Ayah telah mati otak dan keadaan sebetulnya
adalah, pada ketika kami mendengar penjelasan doktor tersebut ayah telah tiada.
Namun ujian kali kedua tetap kami jalankan untuk mengesahkan keadaan tersebut.
Mak mula menangis. Kami perlu menenangkannya dahulu. Nasib baik ada adik
menemani kami bersama.
Doktor mengatakan ayah mengidap
sejenis penyakit paru-paru yang mula bertapak dalam dirinya mungkin 10 tahun
yang lalu. Penyakit tersebut akan merosakkan paru-parunya sedikit demi sedikit
dan masa ayah sakit adalah kemuncak serangan tersebut. (Mungkin juga kesan dari
tabiat ayah kerana ayah juga seorang 'Perokok".)
“Otak ayah awak sudah tidak berfungsi,
bukan sedikit malah langsung tidak berfungsi. Dari segi klinikalnya kami memang
sahkan pesakit mengalami mati otak. Sebelum ini, pesakit memberi respon bilamana
proses sedutan kahak di dalam badannya dilakukan. Selalunya pesakit akan batuk
atau mengerutkan dahinya. Tapi pada awal pagi tersebut tindak balas pesakit
adalah kaku sama sekali. Pihak kami cuba untuk memisahkan pesakit dengan
bantuan pernafasan kerana pernah dicuba sebelum ini pesakit boleh bernafas
sendiri. Tapi percubaan pada hari tersebut memperlihatkan pesakit tidak boleh
bernafas dengan sendirinya, dah ini bermakna dia bergantung 100% dengan oksigen
di mesin. Itu juga tanda-tanda pesakit mengalami mati otak. Selain itu, kita
boleh melihat pesakit mempunyai kencing yang banyak. Ini kerana jika otak
sebagai tunjang dalam tubuh badan kita gagal berfungsi, ia juga tidak boleh
mengawal apa-apa lagi termasuk air kencing. Awak telefon semua ahli keluarga
yang belum menemuinya. Agar cepat-cepat menemuinya. Sedekahkan surah yassin
kepadanya kerana pada masa sekarang. Kita akan buka 24 jam untuk ahli keluarga
menziarahi dan melawatnya. Sekarang Kita hanya menunggu nadinya berhenti.
Jikalau nadinya berhenti kita tidak akan melakukan pertolongan untuk
mengembalikan denyutan nadinya kembali. Kami menolong pesakit ada batasnya.
Jika dia sudah pergi, redhakanlah, tidak boleh kita tahan-tahan. Menyiksa dia.
Sekarang, Bila balik ke rumah, sediakanlah peralatan untuk majlis yang
sepatutnya (majlis pengkebumian). Pada masa sekarang fikir kemungkinan buruk
sahaja, jangan fikir kemungkinan baik. Untuk kemungkinan baik, itu adalah
keajaiban dari ALLah.”( aku masih mengharapkan keajaiban itu)
Ku lihat mak mengangguk redha dalam
tangisannya. Adik menangis memeluk mak. Aku? Aku berusaha untuk kuat. Kami
keluar dari icu. Aku dalam keadaan keliru. Penerbangan ku ke Sarawak adalah
pada jam 6 petang. Apa yang patut aku lakukan? Keputusan perlu dibuat segera.
Walaupun ketika itu aku sangat dilemma. Mak pula dalam tangisnya meminta
saudaraku di kampung membersihkan rumah dan bersedia menerima kepulangan kami
dan jenazah ayahku pada bila-bila masa. Aku bertanya kepada mak bagaimana
keadaan tiketku. Mak menyuruhku membatalkan penerbangan ke Sarawak petang
tersebut. Aku cuba untuk rasional. Perkiraan ku, segala ralat dalam membuat
keputusan akan sangat menyusahkan.
“ Mak saya dah beli tiket ni, dan
pada pandangan saya, lebih baik jika saya balik petang ni, kita sedia maklum
keadaan ayah” kita bukan mengharapkan dia tiada. Tapi itulah kebenarannya.
Walaupun di benakku sangat mengharapkan keajaiban. Apa-apa yang bakal terjadi,
sudahnya nanti, ayah akan dibawa pulang ke Sarawak. Kerana itu adalah salah
satu permintaannya. Ayah tidak mahu ditinggalkan sorang-sorang di negeri orang.
Sebaiknya saya balik, saya yang bersedia menyambut kedatangan jenazah
ayah dari kampung.” Mak mula memikirkan rasional dari apa yang aku perkatakan.
Mungkin ada yang mengatakan keputusan aku salah. Tapi pada fikiranku itulah
yang terbaik. Aku puas menjaganya semasa sakit. Dan semoga kesakitan selama 29
hari terlantar di icu tersebut, ALLah punya sedikit alasan untuk menggugurkan
dosa-dosanya.
Setibanya aku di Sarawak aku menerima
meseg bertubi-tubi dari teman mengucapkan takziah atas kematian ayah. Aku
sangat keliru. Berkali-kali aku bertanya kepada adik. Ayah belum meninggal.
Keadaannya masih sama. Cuma nadinya semakin lemah.
Pada jam 5.03 minit petang, semasa
dalam perjalanan balik ke kampung. Telefonku berdering. di skrin telefon
tertera nama adikku. Fauzie Amry memanggil. Dan aku merasakan sudah sampai
beritanya. Sampai sudah waktunya. Bila diangkat, sangkaan ku tidak meleset. “
jantung ayah sudah berhenti, ayah sudah tiada” perkataan yang menggegar seluruh
isi hatiku. Seluruh jiwa dan ragaku.
Menerima kematian ayah aku tidak
menangis. Tapi dalam hati ini hancur. Terasa aku ingin meraung sekuat hati. Tapi
aku sentiasa diajar untuk sabar. Aku juga diajar untuk sentiasa ikhlas dan
redha. Kerana dalam pada aku sangat mencintai ayah. Allah juga begitu
mencintainya.. Alfatihah…
Urusan memandikan jenazah ayah
dilakukan sendiri oleh ibuku dan adikku serta beberapa pekerja dalam urusan
jenazah di hospital tersebut. Sehingga disembahyangkan. Jenazah ayah akan
dibawa di dalam kargo Malaysia Airlines. Tapi tiket penerbangan air asia pada
masa tersebut sangatlah mahal. Mencecah 500 lebih seorang. Dan keluargaku lebih
kurang 8 orang yang akan balik. Tetapi tiket pada hari jumaat sudah habis. Dan
cuma ada pada pagi sabtu. Cuma seorang yang boleh mengiringi jenazah ayah ke
Sarawak. Dan semestinya adalah mak.
Urusan pengeluaran jenazah ayah dari
kargo tidak mengalami sebarang masalah sangat lancar dan ia berlaku dari urusan
di hospital lagi. Pada jam 2 petang dalam perkiraan ku, jenazah ayah sampai di
Sarawak dan akan melalui perjalanan selama kurang lebih 5 jam untuk ke kampung.
Menggunakan Van salah seorang daripada sepupu, jenazah ayah selamat sampai di
rumah selepas Isya'. ( 7;30 pm).
Inilah saat yang tidak akan kulupakan
seumur hidupku. Sangat sayu. Hening. Dalam kepasrahan. Hatiku berbisik. “Ayah
telah tiada, aku anak yatim”. Pilu, aku tidak pernah menduga sedikitpun akan
Secepat ini. Sedang mimpikah aku? Tidak pernah ada mimpi lagi. Kerana inilah
realitinya. Inilah harga yang perlu dibayar oleh seorang manusia juga seorang
anak sepertiku.
Pengkebumian jenazah ayah perlu
dilakukan pada paginya. Keluarga dari JB mengalami masalah kelewatan
penerbangan AIR ASIA. Sampai di airport kuching, van yang dijanjikan akan
mengambil meraka tidak kunjung tiba. Maka aku memujuk ibuku untuk
mempercepatkan pengkebumian ayah kerana jangkaan mereka sampai sangat lambat.
Aku menaiki kereta jenazah. Aku
seorang. Membawa payung meneduhi bahagian kepala jenazah. Sampai di kawasan
perkuburan jenazah ayah terus dimakamkan. Tapi sebelum jenazah dimasukkan ke
liang lahad. Aku melaungkan azan. Dan meminta maaf atas segala dosanya serta
minta di halalkan hutang-hutangnya.
Menerima kematian ayah, aku Cuma hiba.
Belum menangis, Cuma satu hal yang aku tidak tahan. Menitis juga airmataku saat
talqin di baca. “selamat berpisah Muhammad Pu’ad,” barulah sangat terasa. Ayah
telah pergi. dan wajah itu, tidak akan pernah aku tatapi lagi.
Apabila jenazah ayah selesai
dikebumikan keluarga dari johor Bharu sampai dalam jam 6 petang. Di tanah
perkuburan aku membisikkan KALAULAH dengan ibuku.
1.
- Kalaulah aku membatalkan tiket, mesti mak sorang-sorang yang menguruskan pengkebumian
- jenazah di sini. Ibu mengangguk tanda menyetujui kebenaran kataku
- Selain itu semasa di rumah, aku membisikkan dalam hati, kalaulah aku memilih untuk menjalani latihan ROS di Johor Bharu. Alangkah susahnya aku. Kerana 2 3 hari selepas ayah meninggal aku sudah mula menjalani ros. Rupanya apa yang aku gusarkan dulu tidak tepat. Kerana sememangnya aku perlu ROS di Sarawak. Hebatnya ALLah menggerakkan hatiku untuk memilih Sarawak.
- Kalaulah aku berbaik dengan sahabatku, semestinya dia akan menemani aku balik ke Sarawak. Dan dia akan terkapai-kapai sendirian apabila aku perlu balik ke jb menjaga ayahku sakit. ALLah memang memberikan kemudahan dalam urusanku. Dengan memberikan kami sedikit salah faham.
Saya percaya ALLah sudah mengaturkan secara
terperinci dan terbaik perkara yang bakal terjadi dalam hidup hambanya. Aku
sangat bersyukur. Terima Kasih Ya Robb
Setelah beberapa hari pemergian ayah.
Dalam sholatku, mula bertambah satu doa. Ampunilah dosa-dosa ayah, Rahmati roh
ayah, tempatkan dia dalam kalangan hamba yang soleh dan diredhai. Jauhkan dia
dari seksaan kubur dan seksaan api neraka. Luaskanlah kuburnya. Jadikan
kuburnya taman yang indah seindah taman syurga. Mudahkanlah perjalanan ayahku
menuju Syurgamu Ya ALLah.
Tika bersendirian, selalu jatuh air
mataku mengenangkan ayah. Bukan sekali-sekali meratapi pemergiannya. Tapi
kerana hidupnya, didamba untuk membesarkan kami. Sentiasa berjauhan dari kami.
Demi hidup kami. Pesanan belajar rajin-rajin sentiasa tersemat. Aku sangat
terkilan. Jasanya belum terbalas. Semoga Allah memandang pengorbanan yang dia
lakukan.
Terima kasih kepada semua sahabat yang
sentiasa memberikan sokongan dan memberikan dorongan agar diri ini menjadi
semakin kuat.
Perginya Ayah menemui pencipta...
tangisan redha kami..akan disusuli dengan doa qudus... Cintailah dia Ya
Allah...
Alfatihah
fauzan , b'sabar yer!
ReplyDeletesama-sama dOakan yg t'baek utk arwah ,
hiba sgt bce entry nie dan sgt rasa ape yg kmu rasa .
namun , p'pisahan itu tetap pada hak-Nya .
salam.. hai kawan.. sangat menyentuh kisahmu ni. sabar ek.. dari mana kita datang.. kepadaNya juga kita kembali.. semoga ayahandamu ditempatkan bersama-sama org yg beriman. amin.
ReplyDeleteterima kasih sahabat2.. semoga kita lebih mencintai ibu bapa kita...
ReplyDeletesgt hiba bila membaca entri ini..
ReplyDeletetabahkn hati wahai sahabatku..
semoga dirimu sntiasa tabah dlm apa jua perkara..
ku doakan hidupmu sntiasa beroleh keberkatan..amin ya rabbal alamin..